SELEPAS menyaksikan perlawanan bolasepak antara pasukan Selangor dan Kuala
Lumpur, Zaidi dan Azhar tidak terus pulang ke rumah. Mereka berdua
sebaliknya singgah di kedai mamak di Jalan Doraisamy untuk pekena sup
torpedo dan teh tarik. Kira-kira jam 12.00 tengah malam baru mereka berdua
bergerak pulang ke rumah sewa di Sentul. Dalam perjalanan pulang itu, sedang Zaidi menunggang motosikal kapcai sambil
Azhar memboceng di belakang. Dia tiba-tiba ternampak orang ramai berkumpul
di tepi jalan berhampiran Masjid Kampung Baru. Kerana keinginan untuk
mengetahui, Zaidi memberhentikan motosikalnya berhampiran kelompok yang
ramai itu.
"Apa hal bang?" tanya Zaidi kepada salah seorang lelaki tua yang turut
berada di tempat kejadian.
"Ada orang mati kemalangan. Dilanggar lari," jelas orang tua itu.
"Bila berlaku?" tanya Zaidi lagi.
"Tak sampai sepuluh minit," jelas orang tua yang itu yang mengaku
menyaksikan bagaimana penunggang motosikal itu berbangsa India itu dilanggar
oleh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan. Zaidi dan Azhar terus
menyelusup masuk di celah-celah orang ramai. Mereka melihat seorang lelaki
India yang berlumuran darah dalam keadaan tidak sedarkan diri. Sungguh
mengerikan.
"Alamak, kesiannya," kata Zaidi bersimpati dengan apa yang menimpa lelaki
India itu.
"Sudah nasib dia macam tu. Jomlah kita balik. Aku bukan boleh tengok
lama-lama benda macam ini. Nanti aku tidak boleh tidur malam dan tak lalu
makan," ujar Azhar yang tidak lagi sanggup melihat lelaki India yang
meninggal dunia dalam keadaan yang mengerikan itu. Belum pun sempat ambulan
tiba, Zaidi dan Azhar bergerak pulang terlebih dahulu atas desakan Azhar.
Kalau ikutkan hati Zaidi, mahu saja dia menunggu sehingga ambulan sampai dan
mengangkat lelaki India yang terbujur kaku dan dipenuhi darah. Tapi kerana
memikirkan keadaan Azhar yang alah pada darah, dia mengikut saja ajakan
pulang kawannya itu. Zaidi menghidupkan enjin motosikal kapcainya dan terus
beredar meninggalkan orang ramai yang masih mengerumuni mayat seorang lelaki
India. Tidak sampai seminit mereka beredar dari situ, tiba-tiba mereka
berselisih dengan ambulan yang datang dari arah Hospital Kuala Lumpur.
Zaidi dan Azhar tiba di rumah sewa mereka tepat jam 1.15 pagi. Mereka
sebenarnya tinggal bertiga. Seorang lagi kawannya, Ismail tidak ada di rumah
kerana terpaksa pulang ke kampung atas urusan peribadi. Rumah papan yang
mereka sewa dengan harga RM450.00 sebulan itu terletak betul-betul di tepi
jalan raya. Sudah hampir dua tahun mereka menyewa di situ.
Jam sudah pukul 2.30 pagi. Kerana esok hari cuti umum bagi Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Zaidi melayani matanya yang masih galak
menyaksikan tanyangan video cekera padat (VCD) lakonan Jean Claude Van Damme
yang baru dibelinya semalam. Zaidi memang cukup minat dengan filem aksi.
Sementara itu, Azhar sudah lena dibuai mimpi. Kerana pintu bilik tidur
terbuka, Zaidi dapat melihat dengan jelas Azhar yang sedang tidur dalam
keadaan terlentang. Zaidi yang asyik menyaksikan filem lakonan pelakon
pujaannya itu sesekali diganggu dengan dengkuran Azhar yang kuat. "Azhar ni
kalau tidur tak berdengkur tak sah," kata Zaidi seorang diri.
Lebih kurang lima belas minit kemudian, Zaidi terdengar suara orang
mengerang. Dia menoleh ke arah Azhar. Dia melihat Azhar seolahohlah seperti
orang meronta-ronta hendak melepas diri. Zaidi terus bangkit dan menghampiri
Azhar. Kerana bimbang melihat keadaan Azhar itu, lantas Zaidi terus
mengejutkan Azhar dari tidur. Tersentak itu juga Azhar tiba-tiba diam dan
tersedar dari tidurnya. "Aku ditindih hantu," kata Azhar dalam nada yang
tersekat-sekat dan jantungnya berdegup kencang.
"Eh, kau biar betul. Patut la aku tengok kau gelisah saja masa tidur tadi.
Kau jangan buat aku takut," balas Zaidi mula cemas.
"Betul, aku tak tipu kau. Aku rasa lemas. Dada aku pula ada sesuatu yang
berat ditindih sesuatu. Dan badan aku tak boleh hendak bergerak. Kedua
tangan dan kaki aku bagaikan diikat," cerita Azhar lagi. Di dahinya mula
kelihatan anak peluh.
"Alamak, ini yang buat aku seram ni," ujar Zaidi mula ketakutan. Mendengar
cerita kawannya itu, bulu roma Zaidi mula berdiri. Badannya terasa seram dan
sejuk.
"Kau tunggu kejap. Aku hendak tutup tv," kata Zaidi sambil bergegas
mematikan suiz tv dan pemain VCD.
Malam itu Zaidi dan Azhar tidak tidur berasingan. Azhar yang baru ditindih
hantu sukar melelapkan matanya. Zaidi pula yang terasa takut kalau-kalau
perkara itu terjadi pada dirinya pula. Zaidi membaca segala ayat suci
al-Quran yang diingatinya. Sambil itu dia berdoa mudah-mudahan dia dan Azhar
tidak lagi diganggu oleh hantu.
Keesokan paginya mereka berdua ketawa sambil menceritakan kepada kisah Azhar
yang diganggu hantu kepada Ismail yang baru tiba dari kampung. Mendengar
cerita itu, Ismail yang pernah juga diganggu hantu waktu tidur kemudian
menceritakan peristiwa yang sama berlaku kepada kepadanya beberapa bulan
yang lalu. "Aku sengaja tidak mahu ceritakan kepada korang semua. Sebabnya
aku tahu korang takut terutamanya Zaidi," cerita Ismail.
"Kau pun pernah ditindih hantu?" Azhar agak terperanjat mendengar penjelasan
Ismail. Begitu juga dengan Zaidi.
"Aku fikir kita kena pindah rumah. Aku dah mula takut ni. Kau berdua dah
kena kacau dek hantu. Entah-entah sikit lagi aku pula kena kacau," ujar
Zaidi menyarankan kepada dua kawannya agar mereka mencari rumah sewa yang
baru.
"Aku pun ingat begitu juga. Kau macam mana Mail," tanya Azhar kepada Ismail.
"Nak pindah tu boleh, tapi di mana kita hendak cari rumah sewa. Sekarang ini
bukan senang nak dapat rumah sewa. Yang ada semuanya melebihi RM500. Mana
kita nak korek duit sebanyak tu. Rumah sewa sekarang ini pun kadang-kadang
sewa bulanan pun sangkut," jelas Ismail. Azhar dan Zaidi terdiam seketika.
Jika mereka benar-benar ingin berpindah, rumah sewa baru mesti dicari.
Mereka benar-benar ingin berpindah terutamanya Azhar. Dia tidak sanggup lagi
diganggu oleh makhluk halus sewaktu dia sedang tidur.
Seminggu berlalu, kejadian yang sama berulang lagi. Kali ini sekali lagi
Azhar diganggu. Kejadian itu berlaku pada sebelah petang kira-kira jam 6.30.
Sewaktu Azhar sedang tidur di ruang tamu, hantu itu terus menindih dirinya.
Zaidi terasa sukar bernafas dan bergerak. Dia cuba meronta-ronta untuk
melawan makhluk halus itu tetapi tidak terdaya. Kebetulan pula waktu itu
Ismail dan Zaidi berada di dapur memasak untuk makan malam mereka bertiga.
Dalam kelemasan itu, Azhar teringat pesan orangohrang tua. Kalau diganggu
makhluk halus, baca saja ayat-ayat al-Quran terutamanya ayat Kursi. Lantas
Azhar segera membaca ayat tersebut dalam hatinya. Setelah habis membacanya
sebanyak tiga kali, Azhar akhirnya terlepas daripada gangguan itu. Azhar
segera bangkit dan menceritakan kepada Zaidi dan Ismail. Kerana tidak tahan
dengan gangguan makhluk halus itu, mereka bertiga membuat keputusan untuk
menemui tuan rumah tersebut yang tinggal di Kampung Baru.
Selepas selesai makan malam, mereka bertiga pun bertolak menuju ke rumah
Makcik Zaharah, tuan rumah sewa mereka. Setelah segala kisah yang berlaku
diceritakan, Makcik Zaharah hanya menyetujui sahaja hasrat mereka bertiga
untuk berpindah. Kenapa Makcik Zaharah tidak membantah? Kerana Makcik
Zaharah juga sebenarnya tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukannya untuk
menghalau makhluk haluk itu daripada rumah sewanya. Zaidi, Ismail dan Azhar
merupakan penyewa yang paling lama menyewa rumah Makpcik Zaharah. Tujuh
penyewa-penyewa sebelum hanya mampu bertahan selama tidak lebih dari lima
bulan sahaja.