Monday, 2024-05-20, 6:57 PM
Welcome Guest

[ New messages · Members · Forum rules · Search · RSS ]
  • Page 1 of 1
  • 1
Forum » ::Sembang Khusus:: » kesihatan » kulit manusia boleh diganti
kulit manusia boleh diganti
kaizerDate: Sunday, 2009-03-22, 2:33 PM | Message # 1
pengendali laman web
Group: Webmaster
Messages: 2628
Status: Offline
Kajian penghasilan kulit oleh saintis PPUKM kini memasuki peringkat klinikal

JIKA penggantian organ seperti ginjal, paru-paru dan hati memerlukan penderma, penggantian organ terbesar manusia iaitu kulit tidak perlu menunggu ehsan sesiapa kerana ia boleh diternak di makmal dengan sumber daripada pesakit sendiri.

Percaya atau tidak, kejuruteraan tisu di Malaysia kini menuju tahap yang begitu membanggakan. Tahap klinikal kini akhirnya boleh dilaksanakan kepada pesakit.

Sejak kejayaan menternak telinga di makmal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1990-an, minat untuk penghasilan organ lain di kalangan saintis semakin ketara. Ini membawa kepada penubuhan Persatuan Kejuruteraan Tisu Malaysia (Tesma) pada 2004 selain menyaksikan satu persatu organ tiruan dihasilkan.

Walaupun masih pada tahap kajian manakala yang lain sedang menanti ujian klinikal dibuat, beberapa dapatan daripada penyelidikan itu memberi harapan baru kepada pesakit.

Selepas telinga, PPUKM menghasilkan lebih banyak organ sama ada pada peringkat kajian atau klinikal seperti kornea, trakea, rawan sendi lutut dan terbaru kulit.
Penghasilan kulit di makmal adalah alternatif terbaik dan tidak menyakitkan berbanding prosedur normal.

Penyelaras Penyelidikan Kejuruteraan Tisu, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Ruszymah Idrus, berkata selepas kejayaan menghasilkan telinga sintetik, saintis di PPUKM sentiasa cuba meningkatkan lagi keupayaan organ berkenaan.

“Misalnya untuk telinga walaupun sudah berjaya dihasilkan pada tahun 90-an, tetapi ia masih belum boleh dibekalkan dengan salur darah sepenuhnya kerana masih di luar badan. Justeru, penyelidikan masih diteruskan bagi membolehkan ia memiliki salur darah,” katanya.

Selepas telinga sintetik, kajian mengenai penghasilan kulit membawa kemenangan kepada Prof Ruszymah dan pasukannya di Pameran Inovasi Antarabangsa ke-32, di Geneva, Switzerland pada 2004.

Ketika itu, kajian mengenai penghasilan semula kulit menggunakan teknik HDP (menggunakan plasma daripada pesakit sendiri - human plasma derivative) masih pada peringkat penyelidikan.
Kulit tiruan.

Bagaimanapun, katanya selepas empat tahun, penyelidikan itu bersedia memasuki peringkat klinikal sebelum digunakan pesakit.

Sejak dulu, menggantikan kulit yang rosak atau terjejas kerana terbakar atau penyakit (seperti ulser akibat komplikasi diabetes) adalah cabaran yang sangat besar di kalangan pakar bedah. Walaupun ada teknik penggantian kulit dikenali sebagai ‘Split Skin Graft’ (SSG) yang diperkenalkan oleh Reverdin pada 1871, ia bukanlah pilihan muktamad dalam rawatan.

Apatah lagi bukan semua kes kebakaran (misalnya kebakaran darjah ketiga) dan ulser yang kronik boleh ditangani dengan SSG.

Prof Ruszymah berkata, jika ditanya pesakit apakah yang paling menyakitkan apabila menerima rawatan penggantian kulit, jawapannya adalah kesan pengambilan kulit bahagian lain yang ditampal pada kulit yang rosak. Katanya, ia lebih memeritkan berbanding penyakit itu sendiri.

“Walaupun SSG membantu pesakit, tetapi ia juga memberi ruang kepada saintis menghasilkan kulit tiruan,” katanya.

Prof Ruszymah berkata, menternak kulit bukan mudah kerana pada tahun pertama kajian sebaik pulang daripada pengajian di Amerika Syarikat pada 2000, beliau mendapati penyelidikan yang dijalankan gagal.

Kulit tidak membesar mengikut saiz yang diharapkan dan jika membesar didapati hanya pada satu lapisan nipis yang payah dilihat dengan mata kasar.

Hasil penyelidikan seterusnya, Prof Ruszymah dan pasukannya membangunkan metadologi baru bagi menternak kulit iaitu melalui teknologi kejuruteraan tisu plasma manusia yang diambil daripada tapak (scaffold).

Menerusi teknik ini, kulit yang memiliki dua lapisan epidermis dan dermis akhirnya berjaya dihasilkan. Bagaimanapun, keratinocytes (yang berfungsi melindung kulit daripada sinaran cahaya penyebab barah) dan fibroblasts (sel dalam tisu yang akhirnya membentuk kolegen) diternak berasingan.

Ia kemudian dibentuk semula seperti lapisan kulit dengan tambahan plasma daripada pesakit.

Prof Ruszymah berkata, kulit yang terhasil lebih nipis, mudah dikendalikan dan boleh dibuat dalam pelbagai saiz dan dinamakan sebagai ‘kulitku’.

Malah, kulit itu ditumbuhi banyak faktor penumbuhan (growth factor) yang penting dalam penyembuhan luka. Kulit sintetik ini menjanjikan harapan kepada pesakit ulser kronik dan pesakit yang mengalami kebakaran serius.

Aplikasi klinikal kepada pesakit yang dilakukan mendapati ia mampu memberi alternatif kepada pesakit selain SSG.

Prof Ruszymah berkata, bagi menghasilkan kulit tiruan, contoh kulit berukuran 1 sm x 1 sm diambil daripada pesakit.

“Sel kulit itu dicerna dan diasingkan dengan menggunakan enzim sebelum proses peniruan (replication) dibuat,” katanya.

Proses itu diteruskan hingga mencapai jumlah yang ingin dicapai dan bahan bio material daripada darah pesakit diambil bagi menghasilkan struktur tiga dimensi kulit bersaiz 10 sm x 16 sm.

Beliau berkata, bahan bio material ini penting kerana tanpanya kulit hanya tumbuh pada satu lapisan.

“Penghasilan kulit ini adalah alternatif terbaik dan tidak menyakitkan berbanding prosedur normal,

SSG yang memerlukan kulit pesakit diambil daripada bahagian lain tubuh bagi menampung kulit yang rosak,” katanya.

Isu penolakan juga tidak timbul kerana kulit tiruan itu berasal daripada sel kulit pesakit sendiri.

Perbezaannya hanya kulit baru itu dihasilkan di dalam makmal.

“Kulit yang dihasilkan dalam makmal ini lembut, jadi ia memerlukan ejen pembawa. Kami menggunakan sutera dan ditampal pada pesakit. Tidak perlu bimbang kerana sutera itu akan tertanggal sendiri,” katanya.




 
Forum » ::Sembang Khusus:: » kesihatan » kulit manusia boleh diganti
  • Page 1 of 1
  • 1
Search: