Monday, 2024-05-20, 8:26 PM
Welcome Guest

[ New messages · Members · Forum rules · Search · RSS ]
  • Page 1 of 1
  • 1
Forum » ::Entertainments & Leisure:: » cerita seram » batu terbang
batu terbang
kaizerDate: Sunday, 2009-03-15, 8:52 AM | Message # 1
pengendali laman web
Group: Webmaster
Messages: 2628
Status: Offline
"Dum!" bunyi benda jatuh atas bumbung zink mengejutkan Aminah yang sedang
menutup jendela di serambi rumah. Bunyi yang begitu kuat hampir menyebabkan
wanita berusia lewat 40-an itu melompat kerana terlalu terkejut.

"Hish, apalah yang jatuh atas atap ni. Bukan main kuat lagi bunyinya.
Macam.." belum pun habis Aminah merungut, bunyi yang mengejutkan itu datang
lagi. Bunyi berdentum-dentum itu bukan sahaja datang dari arah bumbung,
tetapi juga dinding dan jendela. Aminah terpaku mengamati bunyi yang begitu
mengejutkan. Nasib baik dia tidak sakit jantung. Kalau tidak, harus tergolek
dia di situ. Debaran di dadanya semakin kencang apabila ada di antara
batu-batu yang dibaling itu masuk ke rumah melalu tingkap. Angkara siapakah
ini?

"Mak, apa hal ni? Siapa yang serang rumah kita?" anak lelaki Aminah, Anuar
yang tinggal bersamanya muncul di bilik. Suaranya penuh cemas dan tanda
tanya.

"Entahlah Nuar. Mak pun tak tahu. Tiba-tiba sahaja rumah kita macam diserang
dek hujan batu. Cuba kau tengok siapa yang buat kerja tak senonoh ni. Dah
gila agaknya."

Baru Anuar menjengukkan muka untuk mengintai di jendela untuk melihat siapa
yang membuat angkara tersebut, sebiji batu melayang betul-betul ke arahnya
sehingga mengenai dahinya. Muka Anuar pucat lesi. Batu yang kena pada
dahinya tergolek di kaki. Biarpun batu itu sebesar bola ping pong, namun ia
tidak menyakitkan. Tiba-tiba Anuar berasa teramat takut sebab dia bukan
sahaja tidak melihat seorang manusia pun di luar sana, malah dia juga tidak
nampak dari arah mana batu itu datang. Tahu-tahu sudah mengenai dahinya.
Selepas kejadian itu bunyi hujan batu yang mengenai bumbung dan dinding
rumah Aminah tiba-tiba lenyap. Anuar dan Aminah berpandangan sesama sendiri.
Masing-masing tertanya-tanya, apakah yang berlaku di luar sana?

Menjelang tengah malam Aminah dan Anuar yang sedang nyenyak tidur dikejutkan
sekali lagi oleh bunyi balingan yang menggegarkan keheningan malam. Aminah
menjerit melihat batu-batu sebesar ibu jari kaki meluru ke arahnya. Anuar
bergegas ke bilik ibunya. Dia berasa takut kerana dirinya juga dihujani oleh
batu-batu sebesar batu kerikil. Keduanya berlari ke bawah katil bagi
mengelakkan hujan batu yang menimpa mereka. Apa yang mampu dilakukan ketika
itu hanyalah berdoa agar Tuhan melindungi mereka. Perasaan takut menyebabkan
Aminah dan Anuar terus berjaga hingga ke pagi. Menjelangan azan Subuh
barulah bunyi batu dibaling reda.

Aminah fikirkan kejadian itu sudah berakhir. Kiranya dia silap kerana
malam-malam berikutnya rumah Aminah terus dibaling batu. Keanehan yang
melanda Aminah sekeluarga cepat tersebar dan mendapat perhatian masyarakat
setempat. Di warung kopi, di pasar, malah di mana jua, cerita tentang rumah
Aminah yang dibaling batu itulah yang menjadi topik hangat perbualan. Mereka
hairan bagaimana perkara itu boleh terjadi.

Sejak itu rumah Aminah menjadi tumpuan orangohrang kampung. Berduyun-duyun
mereka datang ke rumah itu selepas sembahyang Isyak semata-mata ingin
mengesahkan cerita yang mereka dengar. Dan batu-batu itu bagaikan tidak
mengenal erti penat, terus sahaja menerjah masuk entah dari mana ke dalam
rumah Aminah. Atas cadangan Ketua kampung Aminah dan Anuar menumpang tidur
di rumahnya. Dengan begitu batu-batu itu mungkin tidak akan "menyerang"
mereka lagi. Namun tekaan itu ternyata meleset. Batu-batu itu seakan tahu ke
mana dua beranak itu berada. Dan tanpa dapat dihalang rumah ketua kampung
pula menjadi mangsa balingan batu.

"Tolonglah Tok Ketua. Saya dah tak tahu apa lagi yang perlu saya lakukan.
Saya rasa takut, buntu dan marah. Hidup pula jadi tak menentu. Apa lagi yang
perlu saya buat?" keluh Aminah sambil menangis.

"Aku sendiri pun rasa bingung memikirkan hal engkau ni. Macam ni sajalah,
apa kata kita buat laporan polis. Manalah tahu polis boleh tolong kita cari
siapa yang buat kerja tak senonoh ni. Siapa tahu ada orang senagaja nak
aniaya kau anak beranak," saran ketua kampung yang turut berasa aneh dengan
kejadian itu.

Namun ternyata usaha itu masih tidak berjaya menyelesaikan misteri di
sebalik peristiwa "hujan batu" di rumah Aminah. Siasatan yang dijalankan
gagal menemukan siapakah yang melakukan angkara itu. Walaupun pihak polis
telah meletakkan beberapa anggotanya untuk berkawal dengan dibantu oleh
beberapa orang kampung secara bergilir-gilir, batu-batu masih terus
menyerang rumah Aminah.

Kegagalan itu mendorong orangohrang kampung mengadakan bacaan Yassin dan
sembahyang hajat setiap malam di samping terus berkawal. Namun semakin
banyak cara dilakukan, semakin kerap balingan batu mengganggu. Ekorannya
janda itu menjadi mudah melatah kerana sering terperanjat apabila batu-batu
jatuh menimpa bumbung dan jatuh berhampiran dengannya. Sedangkan prestasi
persekolahan Anuar semakin menurun kerana tidak dapat belajar dengan tenang.
Tidak sanggup berdepan dengan keadaan yang mengganggu ketenteraman jiwa itu
Aminah terpaksa meminta bantuan Ustaz Hambali yang terkenal di selatan tanah
air.

"Ada orang yang sakit hati pada kamu. Dia nak buat kamu sampai berpindah,"
beritahu ustaz itu.

Terpegun dengan apa yang didengar, Aminah cuba memikirkan siapakah
gerangannya manusia yang sanggup melakukan perkara yang padanya sungguh
tidak berhati perut. Entah mengapa dia tiba-tiba teringat pada seseorang
yang selama ini sering mengganggu hidupnya. Mungkinkah itu orangnya?

"Jangan fikirkan siapa yang melakukannya," suara garau Ustaz Hambali itu
mengganggu lamunan Aminah. "Siapa yang buat tidak penting. Apa yang perlu
ialah kita sekarang kena berusaha untuk mengatasi masalah ini." Ustaz
Hambali kemudiannya berpesan agar Aminah membaca Yassin sebaik sahaja
balingan batu bermula. Selain itu dia diminta agar melakukan sembahayang
hajat setiap malam. "Semua ini kamu kena lakukan sendiri. Insya-Allah kalau
ini kamu lakukan dengan tenang dan redha, serta tidak menyimpan perasaan
dendam, apa yang berlaku pada kamu dan keluarga akan berhenti tidak lama
lagi,"

Benar seperti yang dikatakan, dengan izin Allah dua minggu kemudian balingan
batu yang hampir menyebabkan Aminah mengalami tekanan jiwa berhenti secara
tiba-tiba. Aminah hampir tidak percaya apabila mendapati perkara itu tidak
lagi berlaku. Namun dia cukup bersyukur kerana hidupnya kini kembali
tenteram. Bagaimana sesekali terfikir juga di fikirannya, apakah benar
seperti yang dikatakan oleh Ustaz Hambali bahawa semua itu angkara mereka
yang sakit hati padanya?




 
Forum » ::Entertainments & Leisure:: » cerita seram » batu terbang
  • Page 1 of 1
  • 1
Search: