"Man, bangun cepat. Kakak kamu sakit nak bersalin tu." Suara cemas ibu
mengejutkan aku yang sedang asyik menonton VCD "Shanghai Knights" lakonan
Jackie Chan. Dalam termangu-mangu aku melihat kakak yang kelihatan berkerut-kerut mukanya
menahan sakit. Patutlah sejak siang tadi aku lihat kakak gelisah sahaja.
Rupanya waktu hendak bersalin sudah semakin hampir.
"Ha, apa yang tercegat kat situ. Pergilah cepat ke rumah Pak Long Bidin kamu
minta tolong hantarkan kakak kamu ke hospital. Lepas tu singgah rumah Bidan
Esah, minta tolong datang ke sini. Manalah tahu kalau-kalau kakak kamu tak
sempat nak ke hospital," sergah ibu dengan suara penuh cemas.
Sebenarnya aku agak berat hati juga hendak keluar malam-malam begini, apa
lagi sebelum keluar tadi aku sempat menjeling ke arah jam yang menunjukkan
hampir jam satu pagi. Takut juga rasanya berada di luar rumah dalam malam
yang hitam pekat seornag diri. Lagipun, setelah dua kali mengalami peristiwa
yang agak menakutkan beberapa tahun lalu, aku sudah tidak berani lagi keluar
malam.
Tidak sampai lima minit aku sudah tercongok di hadapan rumah bapa saudaraku.
Tanpa membuang masa aku terus melaung memanggil namanya. Aku yakin, suaraku
yang kuat bukan sahaja mampu mampu mengejutkan pak long dan anggota
keluarganya yang lain, tetapi juga seisi kampung.
"Ha, apa halnya, Man. Terkejut betul pak long kau buat. Nasib baik tak kena
sakit jantung," suara pak long cemas bertanya sebaik sahaja pintu terbuka.
"Kak Mah sakit nak bersalin. Ayah tak ada sebab kerja. Jadi mak minta pak
long tolong hantarkan Kak Mah ke hospital," jawabku bagaikan pemberita
menghamburkan soalan kepada menteri.
"Ooo... baiklah. Tunggu sekejap pak long dan mak long tukat baju. Masuklah
dulu."
"Tak apalah pak long. Saya nak ke rumah Bidan Esah sekejap. Mak suruh jemput
dia. Boleh juga dia bantu kalau ada apa-apa hal nanti," kataku sambil terus
meminta diri untuk ke rumah Bidan Esah.
Motosikal kupecut laju meredah kegelapan malam menuju ke rumah Bidan Esah
yang terletak di hujung kampung. Hatiku rasa cemas juga kerana rumah Bidan
Esah terletak agak jauh daripada penduduk yang lain. Untuk menghilangkan
rasa cemas aku menyanyi-nyanyi kecil. Suara sumbangku terasa merdu memecah
suasana pagi yang hening. Hilang sedikit rasa takut dan cemas yang bersarang
di hati ini.
Hati terasa lega apabila melihat rumah Bidan Esah sudah berada di depan
mata. Terus sahaja aku memberi salam. Suara sengaja aku kuatkan dengan
harapan Bidan Esah yang telah berusia lebih 60 tahun itu dapat mendengar.
Namun salamku tidak bersambut. Setelah beberapa kali dan masih tiada
jawapannya, aku mula gelisah.
Ke mana agaknya pergi bidan kampung yang begitu banyak berjasa kepada kami.
Memang wanita ini sering dicari apabila ada kecemasan. Biarpun sekarang ini
semua urusan bersalin dan mengandung dilakukan di hospital, namun khidmat
Bidan Esah masih kami perlukan terutama apabila waktu-waktu kecemasan
begini. Setelah puas memanggil dan menunggu, aku mengambil keputusan untuk
pulang ke rumah. Rasanya memang Bidah Esah tidak ada.
Teringatkan mak dan kakak di rumah, aku segera menghidupkan enjin motosikal
lalu memecut selaju mungkin dengan harapan dapat sampai ke rumah segera.
Namun entah di mana silapnya, motosikalku terasa begitu berat hinggakan
pergerakannya menjadi perlahan. Hatiku mula cemas, terutama apabila enjin
motosikal mati secara tiba-tiba sebaik sahaja lalu di belukar tebal. Mahu
atau tidak aku terpaksa memberhentikan motosikal untuk melihat apa
masalahnya.
Ketika itulah aku tersedar ada 'sesuatu' sedang bertenggek di belakang
motosikalku. Patutlah motosikalku terasa begitu berat dan tidak mahu
berjalan. Kuberanikan diri untuk melihat apakah benda yang membonceng
motosikalku itu. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat makhluk saling tak
tumpah seperti Bidan Esah berada di situ. Dia menyeringai memandangku sambil
mempamerkan giginya yang kelihatan panjang dan tajam.
Aku terkaku seketika. Rasa ingin menjerit namun jeritanku hilang ditelan
rasa takut yang amat sangat. Kukumpulkan segala kekuatan yang ada lalu lari
lintang pukang meredah kegelapan malam. Aku tidak peduli apa yang terjadi
pada motosikal burukku. Yang penting aku mahu sampai ke rumah secepat
mungkin.
Di rumah aku lihat ibu sedang memapah kakak ke kereta pak long. Aku terus
terjelupuk tidak bersuara. Keesokannya aku demam selama seminggu kerana
terlalu terperanjat. Benarkah Bidan Esah yang emmbonceng motorku malam itu?