KUANTAN: “Hanya Sultan (Sultan Azlan Shah) mempunyai kuasa mutlak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Menurutnya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang diisytihar mahkamah sebagai Menteri Besar Perak yang sah kelmarin tidak mempunyai kuasa memohon perkenan Sultan Perak membubarkan DUN berikutan tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, Sultan mempunyai kuasa mutlak melantik Menteri Besar dan membubar DUN mengikut Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan negeri.
“Jika Mohammad Nizar berjumpa Tuanku (Sultan Azlan Shah) meminta DUN dibubar tetapi jika Tuanku tidak berpuas hati, maka DUN tidak akan bubar, ini kerana Sultan adalah payung keadilan yang ada kuasa memberi perkenan membubarkan DUN atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Biro Bantuan Guaman ke-20, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang memutuskan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, kelmarin.
Menurutnya, mengenai situasi di Perak kini, jika Sultan mengetahui Mohammad Nizar sudah kehilangan majoriti, maka tidak perlu DUN dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan.
Katanya, kemungkinan pilihan raya hanya boleh diadakan apabila berlaku keadaan tergantung iaitu sokongan 50-50 dalam DUN.