Saturday, 2025-02-08, 10:42 PM
Welcome Guest

[ New messages · Members · Forum rules · Search · RSS ]
  • Page 1 of 1
  • 1
Belum sempat ‘panas’ kerusi
kaizerDate: Wednesday, 2009-05-13, 5:30 AM | Message # 1
pengendali laman web
Group: Webmaster
Messages: 2628
Status: Offline
[img]http://www.hmetro.com.my/Wednesday/Setempat/20090513063729/mainpix[/img]

[img]http://www.hmetro.com.my/Wednesday/Setempat/20090513063729/mainpix[/img]

Oleh Kasdi Ali dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

IPOH: Selepas 96 hari mengosongkan pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kembali semula ke situ pada jam 7.30 pagi semalam.

Bagaimanapun, belumpun sempat ‘memanaskan’ kerusi didudukinya, beliau bersama tujuh barisan Exconya terpaksa sekali lagi melangkah keluar dari bangunan itu kira-kira jam 3 petang berikutan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin.

Keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali pada jam 1.20 tengah hari itu membolehkan Dr Zambry kekal sebagai menteri besar sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dr Zambry berkata, penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakannya.


“Ini keputusan mahkamah, maka mereka (Mohammad Nizar dan pemimpin Pakatan Rakyat) perlu memahaminya hingga keputusan selanjutnya diputuskan.

“Saya kembali semula menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar. Dia (Mohammad Nizar) kena faham sebab ini adalah keputusan undang-undang,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Perak di sini, semalam.

Selepas menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin, beliau tidak pergi ke pejabat, malah tidak menghadiri program istiadat penganugerahan pingat di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, pagi semalam.

Sebaik keputusan kelmarin, beliau terus mengarahkan semua kakitangan keluar dari pejabat Menteri Besar serta-merta kerana menghormati keputusan itu.

Dr Zambry berkata, sehubungan itu, beliau berharap semua pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat menghormati keputusan mahkamah itu sama seperti tindakan BN yang menghormati keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin yang memutuskan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah.

“Keputusan ini adalah rahmat dan menandakan proses demokrasi dilaksanakan serta keterbukaan proses undang-undang.

“Justeru, saya harap mereka tidak bertindak seperti dalam dua kes mahkamah terdahulu yang memihak kepada BN dengan menjadikannya sebagai bahan ceramah untuk dipertikaikan,” katanya.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, segala keputusan yang dibuat dalam ‘mesyuarat Exco’ Pakatan Rakyat malam kelmarin, termasuk menggantung tugas dua pegawai kanan kerajaan negeri serta pelantikan semula penyokong pakatan pembangkang sebagai ketua kampung dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbatal dengan sendiri.

Ketika ditanya berhubung sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 7 Mei lalu yang dianggap tidak sah, Dr Zambry berkata, keputusan untuk menetapkan tarikh dan memanggil persidangan berkenaan adalah dalam bidang kuasa Sultan Perak.

Terdahulu, Mohammad Nizar memasuki pejabat kira-kira 7.30 pagi sebelum bergegas ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar untuk mengiringi Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dalam majlis penganugerahan pingat sebelum kembali ke pejabat, kira-kira 12.30 tengah hari.

Mohammad Nizar berkata, beliau dan semua Exconya akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya dengan meninggalkan pejabat masing-masing di Bangunan Perak Darul Ridzuan kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Katanya, tindakan mengosongkan pejabat itu sebagai menghormati keputusan mahkamah yang menerima rayuan Dr Zambry untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin yang mengisytihar Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, beliau kecewa dengan tindakan Dr Zambry mengemukakan rayuan itu yang dianggapnya membelakangkan kepentingan rakyat dan menyebabkan Perak berada dalam keadaan tidak menentu.

“Tindakan Dr Zambry ini amat mengaibkan. Ini seolah-olah tidak mengambil kepentingan rakyat. Kalau dia kata mendahulukan rakyat, tindakannya ini (mengemukakan rayuan) menyebabkan rakyat Perak terpinga-pinga. Negeri dalam keadaan tidak menentu.

“Kita mahu menyelesaikan masalah kerana mahkamah bukan penentu dan rakyat penentu kepada kerajaan. Nak menentukan kerajaan, kembali kepada rakyat, kita berpegang kepada prinsip itu,” katanya.




 
  • Page 1 of 1
  • 1
Search: