Monday, 2024-05-20, 5:36 PM
Welcome Guest

[ New messages · Members · Forum rules · Search · RSS ]
  • Page 1 of 1
  • 1
Forum » ::Sembang Khusus:: » kesihatan » Gila
Gila
kaizerDate: Sunday, 2009-03-22, 2:34 PM | Message # 1
pengendali laman web
Group: Webmaster
Messages: 2628
Status: Offline
“ANAK si A tu dah gila, kurang siuman! Itu sebabnya dia kena kurung.” Orang gila? Kurang siuman? Siapa yang anda panggil orang gila atau kurang siuman?

Tahukah anda, dalam hidup kita, semua orang mempunyai risiko sebanyak satu peratus untuk mengalami gangguan mental — sama seperti individu yang kita label sebagai gila atau kurang siuman itu, cuma mungkin pada tahap berbeza.

Satu pertiga daripada kita mungkin mengalami gangguan mental sementara, satu pertiga hadapi gangguan mental kekal (sepanjang hayat) dan baki satu pertiga lagi berlaku sekali sekala. Jadi usah memandang sinis individu yang mengalami gangguan mental kerana ia boleh terjadi kepada kita pada bila-bila masa.

Skizofrenia dan psikosis adalah dua jenis gangguan mental yang teruk dan lazim. Satu daripada 100 orang, baik lelaki mahupun wanita, mungkin mendapat skizofrenia sebelum berumur 45 tahun. Skizofrenia dikategorikan sebagai penyakit mental paling serius dan hampir 10 peratus penghidapnya membunuh diri.

Dianggarkan 25 peratus daripada individu yang mengalami satu episod skizofrenia pulih sepenuhnya, 25 peratus berterusan mengalaminya manakala 50 peratus lagi berdepan penyakit berulang yang mengambil masa lama untuk pulih daripada gejala positif seperti delusi dan halusinasi (mendengar atau melihat sesuatu yang tidak wujud).

Yang menyedihkan, kebanyakan pesakit skizofrenia adalah golongan muda antara 20 hingga 40 tahun dan 80 peratus daripadanya adalah individu yang hidup sendirian, bercerai, berpisah atau kematian pasangan.

Kira-kira 23 peratus pesakit ada sejarah keluarga mengalami gangguan mental. Walaupun ia ada kaitan dengan faktor keturunan, ini bukan bermakna ia tidak berlaku dalam keluarga ‘sihat’ kerana 77 peratus pesakit skizofrenia dikenal pasti tiada sejarah keluarga alami gangguan mental.

Akibat stigma negatif dan kurang pengetahuan mengenai gejala gangguan mental, kebanyakan pesakit lewat dibawa mendapatkan rawatan.

Sebenarnya senario ini berlaku di seluruh dunia. Kajian menunjukkan secara purata pesakit skizofrenia mengambil masa dua tahun untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami gangguan dan setahun bagi pesakit psikosis.

Menurut Ketua Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Profesor Mohamad Hussain Habil, kelewatan mendapat rawatan ini juga disebabkan keluarga tidak tahu mengapa pesakit tiba-tiba menunjukkan tingkah laku berlainan dan ‘aneh’ seperti mendengar suara ghaib.

Meskipun banyak pendedahan mengenai penyakit ini, masih ramai memilih mendapatkan rawatan tradisional terlebih dulu dan hanya membawa pesakit berjumpa pakar psikiatri apabila pesakit mula bertindak agresif kepada ahli keluarga.

Perlakuan agresif menandakan penyakit bertambah serius dan rawatan mengambil masa lebih lama. Malah, peluang untuk sembuh tipis.

Memang tidak salah mendapatkan rawatan tradisional atau alternatif, tetapi bawa pesakit berjumpa pakar psikiatri terlebih dulu sebelum mencuba kaedah lain.

Banyak faktor boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami skizofrenia, antaranya pengaruh genetik (keturunan), trauma atau kecederaan pada otak, tekanan dan kesan pengasingan sosial.

Namun, punca sebenarnya tidak diketahui. Yang pasti, melalui imbasan otak, otak pesakit skizofrenia berbeza daripada segi struktur dan fungsi dengan orang normal.

Gejala skizofrenia

Secara umumnya skizofrenia berlaku pada golongan muda antara 20 hingga 40 tahun. Bagi lelaki, kebanyakan kes dikesan dalam lingkungan umur 16 hingga 25 tahun dan 23 hingga 36 tahun bagi wanita.

Penyakit mungkin terjadi secara tiba-tiba, tetapi biasanya sebelum episod pertama berlaku, pesakit menunjukkan perubahan tingkah laku ketara seperti mudah marah, murung, mula mengasingkan diri, pelajaran merosot, enggan bercakap terutama dengan ahli keluarga, tidak boleh belajar atau bekerja dengan baik.

Ramai remaja mempunyai sikap begini, tetapi ia bukan bermakna mereka sakit. Namun, apabila perlakuan semakin buruk, segera bawa mereka berjumpa doktor kerana penyakit ini juga boleh disebabkan kesan sampingan pengambilan dadah seperti ganja, syabu atau menghidu gam.

Gejala skizofrenia dibahagikan kepada empat iaitu:

# Gejala positif — tingkah laku luar biasa atau corak pemikiran ‘tambahan’ kepada cara pesakit berinteraksi. Ini termasuk delusi dan halusinasi visual atau pendengaran. Pesakit mendakwa mendengar dan melihat sesuatu yang tidak wujud.

# Gejala negatif — Merujuk kepada tingkah laku atau corak pemikiran yang ‘hilang’. Antaranya ialah emosi tidak terkawal, tidak mampu memula atau mengikuti sesuatu aktiviti, sukar berkomunikasi, jika berbual tidak dapat bercakap mengenai sesuatu isu dengan baik serta hilang minat untuk hidup.

# Gejala efektif — Meninggalkan kesan mendalam kepada pesakit. Antaranya bimbang berlebihan, murung, kurang tidur, hilang selera makan, hilang minat dan daya tumpuan, rasa tidak berguna dan bersalah, selalu berfikir mengenai kematian atau bunuh diri.

# Pemikiran tidak tersusun — Ia dilihat sebagai kekeliruan fikiran dan percakapan. Tindakan pesakit juga menjadi tidak rasional, aliran fikiran tidak lancar atau buah fikiran yang berbeza dengan fikiran selanjutnya.

Rawatan

Skizofrenia menyebabkan kekacauan dalam hidup pesakit. Ramai pesakit yang mendapat penyakit ini pada usia muda berasa mustahil kembali menjalani hidup normal.

Skizofrenia menyebabkan mereka diasingkan, hilang kerja dan kawan serta tidak dapat berfungsi dengan baik, sekali gus membuatkan pesakit berasa lebih kecewa.

“Ramai pesakit menganggur kerana majikan tidak mahu mengupah pekerja yang ada gangguan mental. Keadaan ini bukan saja merendahkan kualiti hidup pesakit, tetapi turut menjejaskan kehidupan dan memberi tekanan kepada ahli keluarga.

“Justeru, semua jenis gangguan mental, termasuk skizofrenia, perlu dirawat secepat mungkin untuk mengembalikan fungsi pesakit kerana jika dibiarkan, lama kelamaan pesakit hilang keupayaan — sama ada dalam kerja, belajar atau sebagai manusia.

“Namun paling penting ialah mendapat rawatan secepat mungkin. Ia bukan saja mengurangkan kos rawatan dan risiko pesakit menjadi agresif, tetapi lebih penting ialah peluang untuk pulih juga tinggi,” katanya ketika majlis pelancaran ubat oral antipsikotik atipikal, Invega, anjuran Janssen-Cilag.

Menurut Pengarah Penyelidikan Gangguan Psikotik Hospital Universiti Columbia, New York, Profesor Zafar Sharif, kemunculan ubat oral antipsikotik atipikal menjadikan proses rawatan skizofrenia lebih mudah kerana ia perlu diambil sekali saja setiap hari (pada waktu pagi) dan mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital.

“Skizofrenia dikategorikan sebagai penyakit yang mahal untuk dirawat bukan kerana harga ubat, tetapi kos tinggal di hospital. Di Amerika Syarikat, kos rawatan skizofrenia melebihi RM110 bilion pada 1990. Daripada jumlah ini hampir RM59 bilion adalah kos tinggal di hospital,” katanya.

Ubat antipsikotik atipikal disaran diberi kepada pesakit baru kerana potensi untuk pulih adalah lebih tinggi dengan syarat ubat diambil mengikut jadual.

Untuk membawa kembali pesakit kepada kehidupan normal, pengambilan ubat perlu diteruskan walaupun pesakit semakin baik kerana ubat antipsikotik mampu mencegah penyakit berulang.

Jika pesakit berhenti mengambil ubat, gejala skizofrenia kembali pada kadar empat kali ganda dan menjadi lebih teruk. Pesakit biasanya perlu tinggal di hospital dan mengambil masa lebih lama untuk ‘sembuh’.

Seperti ditekankan, rawatan awal adalah kaedah terbaik. Bagi individu yang mengesyaki ada ahli keluarga mengalami gangguan mental, segera dapatkan bantuan di hospital terdekat.




 
Forum » ::Sembang Khusus:: » kesihatan » Gila
  • Page 1 of 1
  • 1
Search: