Monday, 2024-05-20, 8:57 PM
Welcome Guest

[ New messages · Members · Forum rules · Search · RSS ]
  • Page 1 of 1
  • 1
Forum » ::Entertainments & Leisure:: » cerita seram » Pengsan Bertemu Langsuir
Pengsan Bertemu Langsuir
kaizerDate: Sunday, 2009-03-15, 9:06 AM | Message # 1
pengendali laman web
Group: Webmaster
Messages: 2628
Status: Offline
JANGAN kata di zaman siber ini makhluk ghaib sudah tidak wujud lagi. Memang telah termaktub bahawa selain daripada manusia, makhluk ini juga sama-sama menghuni alam ini. Oleh itu kewujudan mereka tidak bolehlah dinafikan.Bagimanapun ada juga sesetengah daripada kita yang tidak mempercayai hakikat ini. Sanggup cakap besar dan juga berdepan dengan makhluk ghaib ini sekiranya benar mereka betul-betul wujud. Akibat cakap-cakap besar seperti ini ada yang bertemu dengan pengalaman yang cukup mengerikan. Mungkin sebagai pengajaran dan juga untuk membuktikan bahawa makhluk ini benar-benar wujud.

Inilah yang berlaku pada seorang rakan yang dikenali sebagai Ramli. Di kala satu kampung sudah heboh dengan kehadiran langsuir, di pokok cempaka berhadapan dengan rumahnya, Ramli langsung tidak mengendahkannya. Langsuir yang bertenggek di pokok itu dikatakan muncul di situ sejak empat bulan lalu. Dalam tempoh itu sudah ramai penduduk kampung yang menjadi mangsa diusik oleh makhluk tersebut. Paling kerap adalah anak-anak muda kampung yang bekerja kilang. Mahu tidak mahu mereka harus melintasi pokok cempaka itu kerana kedudukannya berhampiran dengan jalan besar laluan keluar masuk penduduk kampung.Takut bagaimanapun perlu juga ditempuhi. Tapi ada juga anak-anak muda yang terlebih takut rela menunggu di kilang hingga ke siang hari untuk pulang ke rumah. Kata mereka tak sanggup untuk mengambil risiko bertemu dengan langsuir yang berwajah ngeri, bertaring dengan hilai suara yang cukup untuk membuatkan orang kampung pengsan mendengarnya.

Itulah gambaran langsuir yang diberikan oleh orang kampung yang pernah terserempak dengannya. Sementara itu, Ramli masih juga tidak mempercayai apa Jua yang dikatakan oleh orang kampung. Kata Ramli, sudah berbelas belas tahun dia tinggal di situ mengapa sekarang baru perkara-perkara sebegini muncul. Dakwa Ramli, cerita-cerita orang kampung itu hanyalah rekaan semata-mata."Dah lama aku tinggal di sini, dan dah lama juga pokok cempaka tu ada kata situ, tak pernah ada benda tu. Sekarang ini pulak tiba-tiba kamu semua heboh pasal langsuir. Zaman moden ni dah takde lagi benda-benda macam tu. Dah pupus," kata Ramli sombong sewaktu bersembang dengan rakan-rakan di warung kopi."Engkau jangan cakap macam tu Ramli. Itu cakap besar namanya. Nanti bila dah berjumpa baru engkau tahu langit tu tinggi atau rendah," balas Lebai Usop." Aku tak takut, kalau nak jumpa dah lama aku jumpa, rumah aku tu tersangatlah dekat dengan pokok cempaka tu. Sampai sekarang tak de pun aku jumpa. Takde pulak aku dengar bunyi langsuir tu mengilai-ngilai macam yang engkau semua cerita tu,' ujar Ramli sambil ketawa meninggalkan rakan-rakan yang berkumpul di warung kopi Che Mamat.Sejurus selepas meninggalkan warung, rakan-rakan yang lain menggelengkan kepala. "Aku rasa tak lama lagi si Ramli jumpa dengan langsuir tu. Cakap besar sangat," ujar Lebai Usop sambil menghisap rokok daunnya.

Memang betul kata-kata Lebai Usop, seminggu selepas itu Ramli mengalami satu peristiwa ngeri sehingga mengubah kepercayaannya terhadap perkara yang dikatakan kolot. Satu malam anaknya yang bernama Husin berumur 10 tahun diserang demam teruk. Kerana tidak mahu apa-apa terjadi, malam itu juga Ramli bergegas membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.Ramli keluar dari rumah dalam pukul 12 tengah malam ke hospital dengan menaiki kereta. Saat itu tidak terfikir langsung olehnya tentang langsuir atau apa-apa benda sekalipun. Yang terfikir hanyalah mahu mendapatkan rawatan agar demam anaknya tidak melarat. Pokok cempaka di hadapan rumahnya itu dilewati begitu sahaja.Walaupun dilihat sekali imbas tapi entah kenapa tiba-tiba sahaja pokok tua nampak seakan seram padanya. Namun perkara itu tidak mahu diingat-ingatkan, yang dimahukan cuma sampai ke hospital secepat mungkin.Ramli pulang dari hospital lebih kurang pukul 2 pagi. Demam anaknya Husin yang agak teruk menyebabkan dia terpaksa ditahan di hospital. Ramli pulang berseorangan. Hatinya sedih mengenangkan keadaan kesihatan Husin, anak tunggalnya. Sewaktu masuk sahaja ke jalan menuju ke rumah, tiba-tiba hati Ramli jadi berdebar.Teringat segala cerita tentang langsuir yang dikatakan mengganggu penduduk kampung. Bulu tengkuknya tiba-tiba berdiri, terasa seram sejuk. Ramli cuba tidak Mengingati cerita-cerita langsuir yang pernah diceritakan oleh rakan-rakannya tetapi tidak mampu.

Ingatan terhadap perbualan itu datang bertubi-tubi. Tergambar di kepalanya wajah langsuir yang ngeri seperti yang digambarkan oleh penduduk kampung yang pernah terserempak dengannya.Pokok cempaka tempat langsuir dikatakan bertenggek semakin hampir. Kereta yang dibawanya pula terasa semakin perlahan. Sebaik sahaja melintasi pokok cempaka tidak berapa jauh dari rumahnya, tiba-tiba sahaja satu objek putih terbang melintasi keretanya. Ramli jadi kaget, keretanya serta merta diberhentikan. Sekali lagi objek putih itu muncul, kali ini berlegar-legar mengelilingi keretanya.Waktu itu Ramli dapat lihat dengan jelas, objek putih yang mengelilingi keretanya bukan sembarangan. Dengan wajah yang cukup ngeri, kerkedut-kedut dan gigi taring serta rambut mengerbang, Ramli tahu itu adalah langsuir yang dikatakan oleh penduduk kampung. Menggeletar seluruh badan Ramli, sambil mengilai kuat langsuir itu mengelilingi kereta. Beberapa minit kemudian ia hilang dari pandangan tapi tak lama. Tiba-tiba sahaja terdengar bunyi dentuman dari atas bumbung keretanya.Pucat lesi muka Ramli. Bumbung keretanya bunyi seperti dicakar-cakar. Ramli jadi kelam kabut dalam kereta. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Tambah kelam kabut dan takut Ramli apabila ternampak tangan hitam serta kuku panjang mencakar cermin pintu kereta. Kerana tidak sanggup lagi berada dalam keadaan sebegitu, Ramli lantas membuka pintu kereta dan berlari keluar. Tak sempat sampai ke rumah, langkah Ramli terhenti dihalang oleh langsuir yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Sambil menyeringaikan taringnya, langsuir itu mengilai kuat dan mengangkat tangan seolahohlah mahu mencekik leher Ramli.Lutut Ramli lemah, dia terjelepuk jatuh ke tanah.
Tapi kerana terlalu takut Ramli terus merangkak untuk sampai ke rumah bagi mendapatkan bantuan. Tak sampai pun lima meter Ramli merangkak, hilaian langsuir kedengaran lagi. Kali ini Ramli sudah tidak berdaya lagi, Ramli tersembam ke tanah lalu pengsan hingga ke pagi.Selepas peristiwa itu Ramli demam hampir seminggu. Bertungkus lumuslah isteri Ramli menjaga suaminya di samping anak yang disedang di rawat di hospital. Namun begitu apabila pulih dari demam, Ramli benar-benar berubah. Dia tidak lagi memperlekeh-lekehkan cerita-cerita langsuir di pohon cempaka itu. Malah dialah yang berusaha mencarikan bomoh serta mengumpulkan orang kampung bagi menebang pokok cempaka tempat langsuir itu singgah. Peristiwa itu betul-betul mengubah kepercayaan Ramli terhadap perkara-perkara yang dianggap kolot dan tidak boleh dipercayai.




 
Forum » ::Entertainments & Leisure:: » cerita seram » Pengsan Bertemu Langsuir
  • Page 1 of 1
  • 1
Search: