Monday, 2024-05-20, 8:26 PM
Welcome Guest

[ New messages · Members · Forum rules · Search · RSS ]
  • Page 1 of 1
  • 1
Forum » ::Entertainments & Leisure:: » cerita seram » misteri wanita berwajah hodoh
misteri wanita berwajah hodoh
kaizerDate: Sunday, 2009-03-15, 8:56 AM | Message # 1
pengendali laman web
Group: Webmaster
Messages: 2628
Status: Offline
Jalan menuju ke kampung masih jauh. Untuk sampai ke destinasi, Malik
terpaksa melalui beberapa buah kampung lagi. Bertolak dari Kuala Lumpur jam
8 malam, dia menjangkakan akan sampai ke rumah orang tuanya sebelum jam 12
malam. Kali ini Malik balik seorang diri. Isterinya Suri, tidak dapat
mengikut sama. Dia terpaksa berkursus di Pulau Pinang.

Melalui jalan-jalan kampung membuatkan Malik terpaksa memperlahankan kereta.
Jam di tangan sudah jam 12 malam. Matanya sudah mengantuk. Beberapa kali dia
menguap. Jarak rumah orang tuanya hanya tinggal lebih kurang 3 kilometer
sahaja.

Mata Malik bagai tidak dapat ditahan-tahan lagi. Hinggalah dia tiba di
kawasan tali air berhampiran rimbunan pokok sagu lebih kurang 2 kilometer
dari rumah orang tuanya. Ketika matanya benar-benar mahu terpejam, dia
bagaikan tersentak apabila kereta yang dipandunya melanggar sesuatu.
Sepantas kilat Malik membrek. Bila keretanya sudah berhenti, Malik
cepat-cepat hendak keluar. Namun tangannya begitu berat membuka pintu
kereta. Dia sempat melihat objek yang dilanggarnya bangun dan berdiri
betul-betul di hadapan keretanya.

Melihat lembaga putih yang memakai serba putih dengan rambut kusut masai,
Malik seperti hendak lari. Sekali imbas dia dapat melihat wajah wanita
berkenaan. Hodoh! Bajunya yang compang-camping juga penuh berlumur dengan
tanah. Di tangan wanita itu ada bayi yang didukungnya. Bayi itu seperti
tidur lena. Malik terdiam. Wanita yang bermuka hodoh merenungnya tajam. Dia
seakan-akan marah dengan Malik. Malik serba salah. Dia berkira-kira sama ada
hendak keluar dan meminta maaf dari perempuan itu atau sebaliknya.

"Ah... lebih baik aku minta maaf, lagipun tengah malam jalan kampung ini
mana ada lampu. Yang perempuan itu pun satu berjalan tengah-tengah malam
buat apa..." getusnya di dalam hati. Sedang Malik hendak melangkah keluar,
wanita itu berjalan melewati keretanya. Dia terus membatu di dalam kereta.
Bulu romanya menegak dan mengantuknya terus hilang. Malik terhidu bau yang
tidak menyenangkan. Bau seperti bangkai manusia. Melalui cermin pandang
belakang keretanya, Malik cuba mencari kelibat wanita itu tetapi sekali lagi
dia terkejut apabila tiada satu objek pun yang kelihatan. Segera dia
memalingkan muka menoleh ke belakang. Memang betul tiada sesiapa pun di
jalan.

"Mana perginya perempuan hodoh tu?" soalnya sendirian. Sementara itu Malik
memerhati sekeliling. Pohon-pohon sagu di kiri dan kanan jalan raya
bergoyang seakan ditiup angin kencang mengeluarkan bunyi yang menyeramkan.
Tanpa berlengah lagi, Malik segera memecut keretanya menuju ke rumah orang
tuanya yang sudah tidak berapa jauh lagi.

Hati Malik benar-benar lega apabila tiba di rumah. "Kenapa kamu ni,
berpeluh-peluh macam baru berlari 100 meter?" Che Tom bertanya. Malik
tercungap-cungap. Sebaik sahja melabuhkan punggung, Malik terus bercerita
peristiwa yang dialaminya.

"Oh... kisah tu, bukan kamu saja yang mengalaminya, dah ramai orang kampung
kita yang kena. Tapi selagi kamu tak kacau 'benda' tu Insya Allah kamu
selamat," jelas Che Tom mententeramkan gelisah anak kesayangannya.

"Sebenarnya lembaga yang kamu lihat tu mula berkeliaran sejak tiga bulan
lalu. Ada orang cakap itu arwah anak Pak Jali, yang khabarnya mati bunuh
diri sebab mengandung anak luar nikah. Budak yang dipangkunya tu, anak
dialah tu. Entah betul, entah tidak tak tahulah emak," jelas Che Tom
bercerita. Malik hanya termenung mendengar cerita ibunya. "Sudahlah tu, tak
usah kamu ingat-ingat. Pergi basuh muka dan tidur. Dah dekat jam dua pagi
ni."

Sebaik sahaja Che Tom masuk ke bilik, Malik terus ke dapur hendak membasuh
muka. Ketika melalui tingkap bertentangan dengan pintu bilik air, dia
terdengar bunyi ketukan di tingkap kaca berkenaan. Segera Malik menoleh, di
luar tingkap cermin yang begitu jelas kelihatan, dilihatnya wanita yang
memakai serba putih sambil mendukung anak yang dlanggarnya di tali air tadi,
terenung tepat ke arahnya. Kali ini mukanya kelihatan sedih. Bagai meminta
pertolongan darinya.

Malik cuba menghampiri tingkap tetapi secepat kilat bayangan perempuan itu
hilang. Tanpa berlengah dia terus mengambil air sembahyang. Esoknya dia
bertekad hendak berjumpa dengan Pak Jali untuk mengetahui kisah sebenar
kematian anaknya.




 
Forum » ::Entertainments & Leisure:: » cerita seram » misteri wanita berwajah hodoh
  • Page 1 of 1
  • 1
Search: