Monday, 2024-05-20, 9:25 PM
Welcome Guest

[ New messages · Members · Forum rules · Search · RSS ]
  • Page 1 of 1
  • 1
Forum » ::Entertainments & Leisure:: » cerita seram » Fatimah Cari Ibu Dalam Belukar
Fatimah Cari Ibu Dalam Belukar
kaizerDate: Sunday, 2009-03-15, 8:53 AM | Message # 1
pengendali laman web
Group: Webmaster
Messages: 2628
Status: Offline
"Arghhh…!" Semua pelajar di dalam kelas terkejut dengan jeritan nyaring
Fatimah yang secara tiba-tiba itu. Kesemua mereka menoleh memandang ke
arah
Fatimah yang duduk di bangku belakang sekali kelas tingkatan 4A
tersebut.
Kelihatan Fatimah sudah menggelupur di atas lantai dengan matanya
terbeliak
ke atas, menggeliat-geliat seperti orang kerasukan. Serentak itu semua
pelajar kelam-kabut, ada yang lari meninggalkan kelas, ada yang
menggerumuninya dari jarak jauh.

Keadaan semakin tegang apabila semakin ramai pelajar-pelajar kelas
berdekatan juga melihat Fatimah yang tidak henti-henti menjerit itu.
Ustaz
Amin bergegas dan guru-guru lain yang mengajar di kelas sekitarnya juga
bergegas apabila kejadian histeria itu berlaku lagi. Ustaz Amin dan
guru-guru lain serta beberapa pelajar lelaki memegang kaki tangan
Fatimah
yang luar biasa kuatnya itu. Fatimah masih lagi terjerit-jerit dan
meronta-ronta dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ustaz Amin membaca sesuatu dan menghembusnya ke muka Fatimah. Fatimah
beransur lemah namun masih meronta-ronta, suaranya masih seperti orang
meracau-racau. Fatimah diangkat ke bilik rehat di pejabat sekolah
tersebut
dan selepas beberapa ketika Fatimah langsung pengsan tidak sedarkan
diri,
seperti kebiasaan yang berlaku kepadanya apabila histeria merasuk.

"Macam mana ni Tuan Pengetua? Saya dah tak tahu nak buat apa lagi.
Sekarang
boleh dikatakan dalam seminggu tu, ada dua tiga kali Fatimah akan
diserang
histeria. Dah bermacam saya buat, tapi tak berkesan juga. Bomoh dah
panggil,
doktor dah periksa, tapi macam tu juga…" keluh Cikgu Mariam yang juga
warden
asrama sekolah itu kepada pengetua.

"Apa kata bomoh yang mengubat dia minggu lepas tu? Saya harap ia tidak
akan
berlarutan hingga ke tahap yang lebih serius," tanya pula Pengetua
setelah
berfikir beberapa ketika.

"Saya rasa Fatimah ni ada masalah tekanan. Jiwa dia tak tenteram dan
mungkin
dia banyak rahsia yang diselindungkan." Sampuk Ustaz Amin pula.

"Saya tidak rasa begitu pula Ustaz. Dia juga seperti pelajar lain,
aktif
bersukan, aktif berpasukan dan akademiknya juga boleh tahan. Dia juga
bergaul dan bergelak ketawa seperti pelajar lain. Saya tak nampak pula
jika
dia mempunyai masalah yang berat untuk ditanggungnya." Terang Cikgu
Mariam.

"Tapi kita tidak boleh lihat luaran seseorang itu untuk menilainya.
Memang
luaran dia gembira tetapi dalam hati siapa tahu?" Balas pula Cikgu
Azam.
Mereka semua terdiam dan cuba mencari penyelesaian kepada masalah
Fatimah
yang selalu diserang histeria. Dari semasa ke semasa histerianya
bertambah
serius hingga kadang-kadang berjangkit kepada pelajar-pelajar perempuan
lain
yang lemah semangat. Dan ini menyebabkan pelajar perempuan takut hingga
sampai ke tahap mengganggu pelajaran mereka.

Malam itu seperti biasa mengikut peraturan asrama, tepat pukul 12 malam
lampu-lampu ditutup. Kebanyakan pelajar perempuan berkemas-kemas untuk
tidur
kecuali segelintir pelajar yang masih belajar dan ada juga yang masih
berbual-bual kosong. Namun Wan, Linda dan Ina yang tinggal satu dorm
dengan
Fatimah, tidak melelapkan mata.

Mereka berpakat untuk berjaga kerana sesuatu mungkin akan terjadi pada
malam
itu. Ini kerana sudah dua malam berturut-turut Fatimah bangun pada
tengah-tengah malam dan kemudian akan berjalan ke arah hutan di
belakang
asrama lelaki dalam keadaan yang tidak sedarkan diri dan menyeramkan.
Kemudiannya dia akan pengsan di situ. Menurut sumber-sumber tertentu,
Fatimah kononnya mempunyai "ibu histeria" yang boleh berjangkit kepada
sesiapa yang lemah semangat.

Mereka berpura-pura tidur untuk mengaburi mata pelajar-pelajar lain
termasuklah Fatimah sendiri. Mereka tidak mahu Fatimah berkecil hati
dengan
perbuatan mereka itu kerana Fatimah tidak sedar akan apa yang dilakukan
semasa ia tidur. Tepat jam 1 tengah malam, ketika pelajar lain sudah
mula
melayarkan mimpi-mimpi mereka, Wan dikejutkan oleh satu suara. Dia
mencelikkan matanya, Ina dan Linda sedang mengejutkannya. Rupanya Wan
tertidur ketika menantikan saat-saat untuk mengekori Fatimah jika dia
bangun.

"Cepatlah Wan, Fatimah dah pergi dah tu, jom bawa lampu picit sekali."
Ajak
Ina dengan suara separuh berbisik tidak mahu mengejutkan
pelajar-pelajar
lain.

Mereka bergegas keluar. Kelihatan Fatimah berjalan tanpa selipar atau
kasut
dengan rambutnya yang mengurai panjang itu ke asrama lelaki. Mereka
mengikutnya dengan perlahan-lahan kerana takut-takut nanti disedari
oleh
Fatimah dan mungkin mereka pula akan diserang.

Mengenangkan itu, mereka rasa kecut tetapi cuba memberanikan diri.
Sesampainya di dewan makan mereka bersembunyi di sebalik dinding dewan
makan
itu ketika Fatimah terhenti dan perlahan-lahan menoleh ke belakang.
Debaran
di jantung mereka semakin kuat. Tidak tahu apa akan dilakukan oleh
Fatimah
jika ternampak mereka yang mengikutnya. Setelah melihat tiada apa-apa
yang
mengekorinya, Fatimah meneruskan perjalanannya untuk ke belukar di
belakang
asrama lalaki yang semakin dekat.

Linda tiba-tiba menjerit kecil ketika sesuatu menepuk bahunya dari
belakang.
Wan dan Ina juga terkejut, mereka menoleh ke belakang.

"Shhh, jangan menjerit. Ini kami lah." Dilihatnya Syam, Saari, Nasir
dan
beberapa rakan lelaki mereka yang lain juga sedang bersembunyi di situ.

"**** engkau. Mati-mati aku ingat apa tadi. Kalau ya pun berilah salam
dulu.
Ini main terkam aje, mau pengsan aku tau tak," marah Wan kepada mereka.
Mereka diam dan kemudian ketawa perlahan.

"Okey, dahlah tu. Jom kita ikut Fatimah tu. Nanti terlepas pulak, susah
nak
cari balik nanti. Mari semua." Ajak Syam seraya mengetuai mereka.
Mereka
bergerak perlahan menuju ke tempat Fatimah tuju. Fatimah sudah hampir
benar
memasuki belukar namun belum sempat dia memasukinya ke kawasan yang
lebih
dalam dan bahaya, Saari segera memanggil Fatimah. Wan, Ina dan Linda
terkejut kerana tidak menyangka Saari akan bertindak demikian.

"Ehh, kenapa Saari panggil Fatimah. Nanti dia serang kita macamana?"
tanya
Wan cemas kepada Nasir yang bersebelahan dengannya. "Ala, tahulah Saari
nak
buat apa. Kau tengok ajelah." Balas Nasir pula.

Fatimah yang mendengar namanya dipanggil menoleh ke belakang. Matanya
tajam
mencari dari mana datangnya suara tersebut. Dalam dia mencari-cari itu,
Saari dan Syam keluar. Kemudian Ina pula keluar dari tempat
persembunyian.
Manakala yang lain masih bersembunyi di tempat persembunyian. Mereka
tidak
mahu keluar terlalu ramai kerana bimbang Fatimah akan takut. Mereka
yakin
dengan tindakan mereka itu, kerana Saari juga bukan calang-calang
orang,
ilmu agamanya tinggi serta berpengalaman dengan perkara-perkara seperti
itu.

Fatimah memandang ke arah mereka bertiga bergilir-gilir dengan mata
yang
tajam serta menyeramkan dan berhenti pada Saari. "Kau nak apa?" tanya
Fatimah sedikit keras dengan pandangan yang seakan mahu menelan Saari.

"Abang nak ikut Fatimah, boleh tak?" Jawab Saari pula.

"Tak boleh!"

"Kenapa tak boleh?"

"Nanti mak Imah marah."

"Fatimah nak pergi mana sebenarnya ni?" tanya Syam pula.

"Imah nak pergi jumpa mak kat dalam sana…" jawab Fatimah sambil
menunjukkan
ke dalam belukar.

Wan dan Linda berpandangan, seram sejuk mereka mendengarkan ucapan
Fatimah
itu. Suara Fatimah seperti budak-budak kecil yang petah dan manja
apabila
diajak berbual, matanya yang tajam memandang orang di hadapannya kini
sedikit sayu. Apabila semuanya senyap, Fatimah bergerak semula untuk ke
tempat tujuannya.

"Nanti Fatimah, buat apa tergesa-gesa ni. Mari abang temankan Fatimah
pergi
jumpa mak ya?" ajak Saari sambil bergerak perlahan ke arah Fatimah yang
terhenti dengan panggilannya.

"Nanti mak marah. Imah takut mak marah. Kalau mak marah nanti dia pukul
Imah." Terang Fatimah yang membahasakan dirinya Imah dengan suara
sedikit
bergetar.

"Imah, mari kakak tolong Imah ya. Mak sedang sibuk tu, jom kita pergi
tidur
dulu, esok baru kita pergi jumpa mak ya. Dah malam ni. Tak baik jalan
malam-malam tau." Ajak Ina pula dengan berani dan juga bergerak
perlahan ke
arah Fatimah. Fatimah diam tunduk menyebabkan rambutnya yang mengurai
itu
jatuh menutupi wajahnya.

Saari dan Ina sama-sama bergerak perlahan ke arah Fatimah. "Mari kita
balik
ya, mari kakak tolong Imah," ajak Ina lagi sambil memegang tangan
Fatimah
yang masih menunduk. Saari juga berjaga-jaga takut Fatimah bertindak di
luar
dugaan. Malam semakin dingin dengan kabus sesekali mengimbas ke arah
mereka.

"Tak mahu!" Bentak Fatimah dan menarik tangannya dengan keras dari
pegangan
Ina. Dan Fatimah terus bergerak ke tempat tujuannya. Ina terkejut,
Saari
segera menarik tangan Fatimah dan mulutnya terkumat-kamit membaca
sesuatu
lalu menghembus ke arah Fatimah. Fatimah yang sebelumnya meronta-ronta
ingin
dilepaskan terdiam.

"Mari kita balik ya Fatimah," ajak Saari sambil memberi isyarat agar
Ina
memimpin Fatimah yang kemudiannya teresak-esak menangis. Fatimah
menangis
seperti kanak-kanak kecil dan hanya mengikut apabila dipimpin oleh Ina
dan
Saari ke asrama perempuan. Baru beberapa langkah mereka bergerak, esak
tangisnya semakin meninggi hingga menyeramkan sesiapa yang
mendengarnya.
Dalam tangisnya, Fatimah memanggil-manggil maknya. Sementara Syam dan
rakannya yang lain membontoti mereka dengan perlahan.

Mulut Saari dan Syam masih terkumat-kamit membaca beberapa ayat dan
sesekali
menghembus ke arah Fatimah yang semakin tidak menentu. Tidak berapa
lama,
Fatimah menjerit sekuat hati serta menyeramkan dan cuba lari dari
pegangan
Ina, Saari, Syam, Nasir dan beberapa rakan lelaki yang lain menerkam ke
arah
Fatimah yang tidak dapat mengawal dirinya itu. Mereka memegang kaki
tangan
Fatimah yang sudah jatuh meronta-ronta dan menjerit-jerit. Wan dan Ina
berlari ke asrama perempuan untuk memanggil warden. Mereka membawa
Fatimah
ke dewan makan dan menahannya di situ. Mereka tidak mahu membawa
Fatimah
balik ke asrama kerana ditakuti berjangkit kepada pelajar lain. Mereka
berharap jeritan Fatimah dari dewan makan yang jaraknya lebih kurang
seratus
kilometer daripada asrama perempuan itu tidak didengari oleh
pelajar-palajar
lain.

Beberapa lama kemudian, kelihatan Wan dan Ina berlari ke arah mereka
termengah-mengah tanpa warden. " Mana Cikgu Mariam?" Tanya Syam
serentak
dengan Nasir kepada Wan dan Ina.

"Nasib kita tak baik. Budak-budak ramai yang dah berjangkit bila
terdengar
Fatimah menjerit tadi. Ramai sangat yang kena histeria sampai warden
tak
terkawal…," terang Wan tersekat-sekat. Mereka semua terkejut.

"Haa, bala betul malam ni. Aku dah cakap mesti ada perkara yang besar
berlaku malam ni, aku dah dapat rasakan…," ucap Saari lagi.

"Eh, tak apalah ya. Aku, Linda dan Ina akan pergi balik ke asrama nak
berkawal kat sana. Aku minta kau orang jaga Fatimah kat sini ya. Dan
tolong
telefon cikgu-cikgu yang berdekatan serta pengetua. " Arah Wan kepada
mereka
yang lain sambil memerhatikan Fatimah yang sudah beransur kurang
rontaannya
dan kemudian pengsan tidak sedarkan diri. Mereka berlari ke asrama
perempuan.

Kelihatan sudah ramai yang berlari dalam ketakutan ke luar dari asrama,
ada
yang terjerit-jerit seperti kena rasuk, ada yang berkumpulan dan lari
ke
surau yang berdekatan. Mereka masuk ke asrama dan memeriksa setiap
dorm.
Mana yang terdapat pelajar yang terkena histeria diasingkan ke satu
bilik,
manakala mana yang tidak berjangkit dan masih kuat semangatnya di
tempatkan
di surau. Beberapa pelajar senior lain yang juga tingkatan enam sebaya
dengan Wan turut membantu. Keadaan semakin kelam-kabut apabila ada di
antara
pelajar yang berjangkit histeria itu berlari dan menjerit-jerit keluar
dari
bilik tanpa arah tujuan.

"Emi, Lina, Tipah baca surah Yasin ke, ayat Kursi ke telinga dia orang,
suruh dia orang mengucap…" arah Wan kepada pelajar-pelajar yang masih
kuat
semangat dan membantu mereka mengawal pelajar-pelajar yang terkena
histeria
itu. Manakala pelajar histeria yang berlari keluar dari asrama, dikejar
oleh
Wan, Ina dan beberapa rakan mereka yang lain. Setelah dapat menahan
pelajar
yang terjerit-jerit itu, mereka tempatkan di dalam kelas-kelas
berdekatan.
Mujurlah asrama tersebut tidak jauh dari kelas-kelas belajar. Kelihatan
kumpulan pelajar lelaki yang diketuai oleh Syam membantu menangkap
pelajar-pelajar yang berlari sambil terjerit-jerit tidak tentu arah.

Wan mengejar seorang pelajar perempuan yang bertubuh agak gempal dan
berjaya
menahannya. Namun Wan terpaksa menggunakan segala tenaganya untuk
membawa
pelajar itu ke kelas berdekatan. Wan dan Syam membaringkan pelajar
tersebut.
Pelajar tersebut terus meronta perlahan dan menjerit-jerit. Wan
membacakan
ayat Kursi beberapa kali ke telinga pelajar tersebut, namun dia tetap
meronta dan menjerit-jerit. "Mimi, dengar Kak Wan cakap. Ikut cakap Kak
Wan
okey, mengucap Mimi mengucap…" ujar Wan lagi kepada Mimi yang seakan
tidak
mendengar apa yang diperkatakan oleh Wan. Mimi tetap menjerit dan
meronta.
Syam yang memegang tangan Mimi menahan sabar. Wan tidak sabar lagi,
ditamparnya muka Mimi berkali-kali. "Hei, dengar sini aku cakap, jangan
ikut
perasaan sangat. Tak ada apa yang nak ditakutkan. Mengucap cepat, nanti
aku
tampar lagi baru padan muka kau!" Teriak Wan marah. Tidak lama kemudian
rontaan Mimi berkurangan dan kemudian terus tidak sedarkan diri. Wan
dan
Syam tersandar ke dinding. Dilihatnya jam sudah menunjukkan ke pukul
3.30
pagi. Mereka mengeluh.

Keadaan kelam-kabut dan bising di luar sudah berkurangan. Hampir
kesemua
kelas berdekatan dengan asrama perempuan itu dihuni oleh
pelajar-pelajar
yang diserang histeria. Pelajar-pelajar senior berlari anak ke tempat
yang
masih terdapat pelajar diserang histeria yang serius. Keadaan itu
berterusan
hinggalah menjelang Subuh. Pada jam 5.40 pagi barulah kelihatan Tuan
Pengetua sekolah melawat ke kelas-kelas pelajar histeria ditempatkan.
Pelajar-pelajar yang diserang histeria, sebahagiannya telah sedar dan
ditenangkan oleh rakan-rakan yang menjaganya. Ada yang menangis
teresak-esak
dan ada juga yang telah sedar sepenuhnya serta duduk termenung.

Keadaan seperti khemah perlarian itu kini beransur tenang.
Pelajar-pelajar
yang berkumpul di surau yang diarahkan mebaca Yasin serta Al-Quran
kembali
ke dorm dan bilik masing-masing. Pelajar-pelajar yang sudah pulih dari
histeria dipimpin oleh rakan-rakan mereka ke bilik mereka. Wan, Ina,
Linda,
Syam, Nasir dan beberapa pelajar senior tingkatan enam dan lima yang
lain
kelihatan berkumpul di kantin bersama Tuan Pengetua dan beberapa orang
guru.
Pengetua berterima kasih kepada mereka kerana membantu mengawal keadaan
satu
malam suntuk hingga kembali tenang. Paginya diisytiharkan cuti kerana
kejadian histeria yang paling buruk dalan sejarah sekolah dan daerah
tersebut.

Ini adalah kejadian benar yang dialami oleh Wan dan rakan-rakannya. Wan
tidak dapat melupakan peristiwa tersebut. Dia bersyukur kerana
semangatnya
kuat dan tidak berjangkit akan serangan histeria tersebut. Dia pernah
menanyakan kepada pelajar-pelajar yang terkena histeria tersebut, apa
yang
mereka nampak atau dengar ketika serangan histeria tersebut. Ada yang
menceritakan mereka terdengar suara-suara memanggil-manggil mereka, ada
yang
mengatakan mereka ternampak bayangan lembaga yang menyeramkan melintas
dan
kekadang mengejek-ngejek mereka sambil mengilai. Wan hanya mendengar
dengan
tercengang dalam percaya dengan tidak.

Namun selepas kejadian tersebut, tidak ada lagi kejadian histeria yang
besar
berlaku, cuma Fatimah seperti biasa paling tidak sebulan sekali akan
diserang histeria, itupun jika dia dalam keadaan penat kerana belajar
atau
bersukan. Wan dan rakan-rakan satu dorm dengannya akan mengajak Fatimah
berbual jika Fatimah kelihatan berlainan dari biasa atau banyak
termenung.
Ini adalah kerana jika Fatimah terlalu melayan perasaannya, maka dia
akan
terbawa-bawa ke tidur dan histeria akan mudah menyerangnya.

Sehingga kini, Wan dan juga rakan-rakannya tidak mengetahui kenapa
Fatimah
selalu sangat diserang histeria, dan mereka tidak pernah menanyakan
kepada
Fatimah kerana takut mengecilkan hatinya. Mereka hanya bersimpati
kepada
gadis manis yang malang itu. Dan kejadian itu masih misteri hingga ke
hari
ini.




 
Forum » ::Entertainments & Leisure:: » cerita seram » Fatimah Cari Ibu Dalam Belukar
  • Page 1 of 1
  • 1
Search: